Muhyiddin Akan Namakan Lima Anggota Parlimen BN Dalam PSC - Semasa | mStar

Muhyiddin Akan Namakan Lima Anggota Parlimen BN Dalam PSC

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menamakan lima Anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dalam Jawatankuasa Terpilih Parlimen (PSC) tidak lama lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, Muhyiddin akan mengemukakan senarai nama itu kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen yang dipengerusikan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

"Tiga Anggota Parlimen daripada pembangkang dan seorang Anggota Bebas boleh juga mengemukakan nama kepada Tan Sri Pandikar sebelum saya membentangkan usul itu pada sidang Parlimen Oktober ini," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Bulan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa bagi mengelakkan sebarang syak wasangka wujudnya manipulasi oleh kerajaan dalam proses pilihan raya.

Jawatankuasa itu akan dipengerusikan seorang menteri kabinet.

Nazri berkata beliau telah membentangkan satu memorandum yang disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung penubuhan jawatankuasa itu kepada kabinet hari ini.

"Kabinet bersetuju dengan kerangka kerjanya. Jika anda teliti kerangka kerja itu, ia sangat luas bagi mengkaji perkara-perkara yang akan memperkukuhkan SPR bagi memastikan pilihan raya yang adil dan bebas.

"Jika anda buat secara khusus, maka kita akan terhad kepada yang khusus sahaja. Tapi di sini, apa sahaja untuk memperkukuhkan SPR dan bagi memastikan pilihan raya yang adil dan bebas boleh dibincangkan bagi menambahbaik proses pilihan raya negara," katanya.

Nazri berkata kabinet juga bersetuju bahawa jawatankuasa itu akan diberi masa enam bulan bagi mempertimbang kerangka kerja itu.

"Bagaimanapun, jika perlu, ia akan dilanjutkan," katanya.

Nazri berkata kabinet juga bersetuju bahawa perkara-perkara yang dibincangkan dalam jawatankuasa itu akan dilaksanakan secepat mungkin tanpa menunggu semua laporan asalkan ia dipersetujui sebulat suara tanpa sebarang pindaan kepada akta atau perlembagaan.

Ketika ditanya jika pembangkang memboikot jawatankuasa itu, Nazri berkata jawatankuasa itu akan diteruskan tanpa menghiraukannya memandangkan kerajaan mahu pilihan raya yang adil dan bebas.

"Ia merupakan permintaan pembangkang dan NGO (badan bukan kerajaan) supaya sebuah jawatankuasa dibentuk, jadi jika mereka tidak mahu mengambil bahagian, maka ia adalah pelik," katanya.

Menjawab soalan jika jawatankuasa itu akan dibubarkan jika pilihan raya diadakan lebih awal, sebelum tempoh parlimen berakhir, Nazri berkata:

"Kita sedang berusaha berlandaskan bahawa tempoh masa parlimen akan tamat pada April 2013 dan selepas itu 60 hari lagi untuk mengadakan pilihan raya umum." - BERNAMA

Artikel Berikut

NCER Tarik Pelaburan RM6.89 Bilion

Artikel Berkaitan

Artikel Lain