suria

Lori Kontena Langgar Tembok Penghadang Plaza Tol

KUALA LUMPUR: Sebuah lori kontena merempuh tembok penghadang di kawasan Plaza Tol Jalan Duta selepas berlanggar dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).

Dalam kejadian kira-kira 1.15 petang itu, lori tanpa muatan tersebut dikatakan hilang kawalan dalam keadaan dipandu laju di lorong ketiga tol sebelum melanggar MPV yang menuju ke lorong Touch & Go yang terletak bersebelahan.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur Deputi Supritendan Polis, Abdullah Roning berkata siasatan awal mendapati insiden berpunca daripada brek lori terbabit yang tidak berfungsi sepenuhnya, menyebabkan pemandu kenderaan itu hilang kawalan.

Pelanggaran itu mengakibatkan lori kontena remuk di bahagian depan dan pemandunya yang berusia 40 tahun cedera ringan dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur, manakala MPV pula remuk di pintu kiri.

Bagaimanapun, pemandu MPV tidak mengalami sebarang kecederaan.

Abdullah berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain