suria

KJ Kata Lawan Debatnya Hanya Mat Sabu Bukan Orang Lain

KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin menegaskan bahawa beliau hanya mahu berdebat dengan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu dan bukannya dengan tokoh PAS yang lain.

Dalam entri terbaru twitternya, Khairy berkata : "Bagi saya, apa yang penting ialah Mat Sabu kerana dia merupakan penyebab kontroversi masa ini. Jika mereka mahu menawarkan orang lain, tak payahlah. Tetapi asalkan ia KJ (Khairy Jamaluddin) menentang Mat Sabu".

Beliau memberi respons kepada jemputan Pemuda PAS kepada Pemuda Umno hari ini, yang mencadangkan satu debat antara beliau dan Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi.

Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil telah menyerahkan jemputan itu kepada Khairy, Khamis melalui Setiausaha Pemuda Umno, Megat Firdouz Megat Junid bagi satu perdebatan bertajuk "Mencari kebenaran di sebalik fakta sejarah mengenai kemerdekaan negara".

Pada 21 Ogos lepas, semasa berceramah di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, Mohamad Sabu dikatakan mengeluarkan kenyataan bahawa pengganas komunis yang menyerang dan membunuh 25 anggota polis dan keluarga mereka dalam tragedi berdarah di Balai Polis Bukit Kepong, Muar, Johor pada 1950 itu adalah hero sebenar dalam perjuangan kemerdekaan negara.

Kenyataan Mat Sabu itu menimbulkan kemarahan dan dikutuk pelbagai pihak terutama anggota veteran daripada pasukan keselamatan dan juga ahli keluarga mereka yang pernah menentang Komunis.

Berikutan itu, Khairy menerima jemputan daripada Kerajaan PAS Kelantan untuk berdebat mengenai isu itu.

Bagaimanapun, Mat Sabu menolak cadangan tersebut dan sebaliknya mahu ia diadakan di antara beliau dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam twitternya hari ini, Khairy juga menjelaskan bahawa sebelum ini beliau sudahpun berdebat dengan beberapa pemimpin PAS termasuk ketua pemudanya dalam beberapa forum berhubung pelbagai isu.

Beliau juga mendedahkan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan telah menarik balik tawaran untuk satu perdebatan antara beliau dengan Mat Sabu.

"Bukan saya yang nak, tapi saya dijemput asalnya untuk berdebat dengan Mat Sabu oleh Kerajaan Kelantan. Jadi saya anggap tiada debat akan berlaku sebab tawaran sebenar ditarik balik oleh PAS sendiri," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain