suria

Juruletrik, Mekanik Didakwa Bunuh Pengawal Keselamatan

KUALA LUMPUR: Dua lelaki yang masing-masing bekerja sebagai juruletrik dan mekanik pada Rabu didakwa di Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan membunuh seorang pengawal keselamatan bulan lepas.

Zakaria Ali, 31, dan Wan Farid Wan Ramli, 24, didakwa bersama-sama membunuh Shariff Din, 47, di Blok A, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Wahyu 2, Off Jalan Ipoh, dekat sini pada pukul 3.15 pagi, 28 Ogos lalu.

Mereka yang tidak diwakili peguam didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Kedua-dua mereka mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Shakirah Mohtarudin, namun tiada pengakuan direkodkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Abu Hassan Ramli.

Mahkamah menetapkan 8 November ini untuk sebutan semula.

Media sebelum ini melaporkan seorang bekas anggota tentera yang bekerja sebagai pengawal keselamatan maut akibat ditikam selepas cuba menghalang dua lelaki yang cuba memecah sebuah kereta. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain