suria

Isu Mat Sabu: Kertas Siasatan Siap Sepenuhnya - Ayub

GEORGE TOWN: Polis telah menyiapkan kertas siasatan terhadap Mohamad Sabu berhubung kenyataannya mendakwa pengganas komunis yang menyerang dan membunuh anggota polis dalam tragedi Bukit Kepong sebagai hero sebenar perjuangan kemerdekaan negara.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob berkata kertas siasatan itu dihantar ke Bukit Aman hari ini untuk diteliti dan akan dirujuk kepada Pejabat Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat.

Katanya polis telah mengambil keterangan daripada Timbalan Presiden PAS, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, itu pada Ahad lepas.

"Polis turut merekodkan 68 kenyataan daripada pemberita, saksi bebas serta mereka yang membuat laporan polis terhadap beliau bagi melengkapkan siasatan dan sama ada beliau akan didakwa atau tidak, ia bergantung kepada Pejabat Pendakwa Raya," katanya pada sidang akhbar di sini, Rabu.

Beliau berkata Mohamad Sabu turut disiasat menurut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menggemparkan masyarakat.

Sehingga semalam, sebanyak 266 laporan polis terhadap Mat Sabu telah diterima di seluruh negara, kata Ayub.

Mat Sabu dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lepas, dipetik sebagai berkata pengganas komunis yang membunuh anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong adalah hero sebenar dalam perjuangan kemerdekaan negara.

Beliau enggan menarik balik kenyataannya dalam ceramah itu walaupun diminta berbuat demikian oleh pelbagai pihak termasuk rakan sekutunya yang juga Pengerusi DAP Karpal Singh. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain