suria

Gagal Perolehi CF Punca Isu Parkir Bertingkat Bt Bendera

GEORGE TOWN: Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) pada Selasa menjelaskan bahawa kelewatan pembukaan parkir bertingkat bernilai RM5 juta di kaki Bukit Bendera adalah disebabkan kegagalan bangunan itu memperoleh sijil layak diduduki(CF).

Pengurus Besarnya, Datuk Rosli Jaafar berkata, bangunan parkir itu belum diberikan CF kerana terdapat beberapa kelemahan dalam rekabentuknya dan kerja mengubahsuai semula rekabentuk itu kini giat dijalankan.

Dakwaan pihak tertentu kononnya bangunan itu lewat siap daripada tempohnya dan terdapat unsur-unsur penyelewengan dalam projek pembinaannya adalah tidak benar sama sekali, katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan kenyataan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) yang membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) menyiasat pembinaan parkir bertingkat itu.

Rosli berkata, sebagai agensi pelaksana, PDC bertanggungjawab memperbaiki kelemahan pembinaan rekabentuk yang tidak memenuhi kehendak piawaian dengan membuat pembaikan bagi membolehkan parkir berkenaan memperoleh CF secepat mungkin daripada MPPP.

Beliau berkata, kerja pembaikan itu akan dilakukan dengan mengurangkan kecuraman parkir berkenaan supaya menjadi lebih landai untuk membolehkan ia digunakan semua jenis kenderaan serta memberi keselesaan kepada pengguna.

"Hingga semalam, beberapa pemeriksaan tapak telah dilakukan bersama MPPP untuk tindakan dan usaha penambahbaikan malah siasatan menyeluruh telah dilakukan untuk meneliti beberapa cadangan," katanya.

Beliau berkata, projek berkenaan dilaksanakan atas kehendak serta kelulusan Majlis Tindakan Pelancongan negeri di bawah Kementerian Pelancongan dan telah diluluskan kerajaan persekutuan dan negeri pada tahun 2007 di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan dengan peruntukan sebanyak RM5 juta.

"Projek pembinaan parkir itu dilaksanakan untuk meningkatkan kemudahan di Stesen Bawah Bukit Bendera yang merangkumi penyediaan kemudahan tempat letak kereta bertingkat dan juga hentian bas perlancongan," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain