suria

Remaja Orang Asli Bebas Tuduhan Bunuh Adik Sendiri

MARAN: Mahkamah Majistret di sini membebaskan seorang remaja Orang Asli dengan bon jaminan berkelakuan baik selepas dia dituduh membunuh tanpa niat adik kandungnya sendiri dan memiliki senjata api buatan sendiri.

Majistret Noor Zaihan Mohamad Ali membuat keputusan itu di bawah Seksyen 91(1) Akta Kanak-Kanak tanpa cagaran selama dua tahun untuk kedua-dua pertuduhan berkenaan di dalam kamarnya.

Bagi pertuduhan pertama, remaja berusia 15 tahun itu mengaku bersalah tertembak adik perempuannya yang berusia 10 tahun apabila senjata api yang sedang dibersihkannya selepas memburu babi tiba-tiba meletup.

Kejadian itu berlaku di rumah tidak bernombor di Kampung Bagas, Kuala Sentul di sini pada 26 Julai lepas antara 7 malam dan 8.15 malam.

Remaja itu didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara atau denda atau kedua-duanya sekali. Bagi pertuduhan kedua, remaja itu dituduh memiliki dua laras senapang buatan sendiri pada tarikh dan tempat yang sama. Dia didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata (Akta 206) yang membawa hukuman penjara setahun, denda RM5,000 atau kedua-duanya.

Ketika dihadapkan ke mahkamah pada 8 Ogos lepas, remaja itu mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut.

Bagaimanapun pihak pendakwaan, Timbalan Pendakwa Raya Norazlin Mohamad Yusoff berkata pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu kerana hukuman yang diterima remaja itu dilihat tidak setimpal dengan kesalahan yang telah dilakukannya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain