suria

Polis Tahan Juru Ukur Guna Cukai Jalan Palsu & Miliki Ganja

GEORGE TOWN: Perbuatan seorang lelaki yang menggunakan cukai jalan palsu akhirnya membawa padah dan membongkar kegiatannya memiliki dadah jenis ganja dalam sebuah kereta.

Pegawai Turus Unit Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Ketua Inspektor Rohizad Halim berkata, lelaki itu pada mulanya ditahan polis dalam satu operasi Ops Evo Elit di Kilometer 7.4 Jambatan Pulau Pinang menghala ke Butterworth, awal pagi Selasa.

Beliau berkata dalam operasi yang bermula pada pukul 1 pagi itu, lelaki terbabit kelihatan gelisah setelah ditahan dan pemeriksaan mendapati dia menggunakan cukai jalan palsu yang dibuat sendiri.

“Ketika ditahan lelaki berusia lingkungan 40-an itu dalam keadaan mencurigakan dan agak gelisah, hasil pemeriksaan lanjut dalam keretanya, kita menemui sepeket ganja yang disimpan di bawah tempat duduk pemandu,” katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata pihaknya turut menemui topi berlogo polis dan sebilah pisau dalam kereta Proton Perdana milik lelaki yang bekerja sebagai juru ukur itu.

Rohizad berkata polis tidak menolak kemungkinan lelaki itu cuba menyamar sebagai anggota polis dengan menggunakan topi berlogo polis yang ditemui dalam keretanya.

"Siasatan awal mendapati lelaki yang berasal dari Sungai Petani, Kedah itu datang ke Pulau Pinang untuk membeli ganja sebagai bekalannya bagi melepaskan gian," katanya.

Beliau berkata hasil siasatan juga mendapati lelaki berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan dadah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain