suria

Isu Pejuang Kemerdekaan: PAS Gesa Kerajaan Tubuh Jawatankuasa Kabinet

KUALA LUMPUR: Pimpinan PAS pusat pada Selasa menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak membentuk sebuah Jawatankuasa Kabinet untuk menulis semula sejarah kemerdekaan negara bagi menghargai jasa tokoh kemerdekaan secara tepat dan adil ekoran kenyataan kontroversi Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu berhubung isu sejarah Bukit Kepong.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata parti itu sedia menghantar wakil mereka menyertai jawatankuasa tersebut dengan syarat kerajaan perlu ikhlas dalam usaha menulis semula sejarah kemerdekaan negara.

"Jika beliau (Najib) ikhlas, kerajaan boleh tubuhkan satu jawatankuasa Kabinet untuk tulis semula sejarah.

"Kita boleh hantar wakil kita dengan syarat kerajaan perlu adil,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS di sini, Selasa.

Sidang media turut dihadiri Mohamad, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Ketua Penerangannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Pada 21 Ogos lalu, Mohamad dalam satu ceramah di Tasek Gelugor Pulau Pinang dilaporkan berkata seorang lelaki Melayu, yang dikenali sebagai Mohamad Indera telah bersekongkol dengan 200 anggota komunis lain menyerang Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950, sebelum membunuh 25 anggota polis dan keluarga mereka dalam tragedi itu ialah hero sebenar yang memperjuangkan kemerdekaan negara.

Ekoran kenyataan kontroversi itu, lebih 500 laporan polis telah dibuat terhadap Timbalan Presiden PAS itu sebagai mengecam tindakannya itu.

Sementara itu, Mustafa berkata PAS berpendirian menolak sebarang ideologi dan perjuangan komunis.

Beliau berkata tidak timbul sebarang usaha mahupun kenyataan yang menyokong perjuangan komunis,namun perjuangan oleh Mat Indera juga diiktiraf.

"Apa perasaan Mat Indera bagaimana bila dikatakan komunis? Sedangkan tercatat sejarah mengenai Mat Indera dalam buku 'Pengukir Nama Johor'. Mat Indera perjuang yang tepat dan benar. Umno buat jenayah cakap Mat Indera komunis.

"Tak dinafi pejuang-pejuang Umno tapi sejarah kemerdekaan perlu ditulis dengan tepat.PAS tidak sedikit pun membela perjuangan komunis.

"Pendirian PAS menolak perjuangan komunis. Namun yang penting perspektif sejarah itu kerana sejarahnya perlu ubah. Maka betulkan sejarah,"katanya.

Bagaimanapun beliau mengakui peranan pemimpin-pemimpin Umno dalam perjuangan kemerdekaan dengan menegaskan pengasas Umno Datuk Onn Jaafar dan Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman Putra telah mengambil pendekatan kerjasama dengan menjadi pegawai pentadbiran British.

"Bagaimanapun sejarah telah dilarikan apabila dikatakan bahawa pejuang kemerdekaan hanyalah Umno.

"Ia tidak betul. Jangan menafikan perjuangan lain yang dimulakan pemimpin-peimimpin seperti Datuk Bahaman, Datuk Maharajalela, Tok Janggut, Rosli Dobi dan ramai lagi tokoh-tokoh kemerdekaan" katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata pihaknya akan membawa isu sejarah kemerdekaan, khususnya berhubung tragedi Bukit Kepong dalam sidang parlimen akan datang.

"Ini topik penting akan dibawa ke sidang parlimen (nanti).

"Kita akan terus perjuangkan sejarah kemerdekaan negara supaya ditulis dengan adil dan tepat," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain