suria

"Elok Saya Debat Dengan Muhyiddin," - Mat Sabu

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu pada Selasa menyatakan kesediaannya untuk berdebat dengan Timbalan Perdana Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam isu pejuang kemerdekaan di Bukit Kepong.

Beliau berkata Muhyiddin merupakan tokoh yang paling sesuai untuk berdebat dengannya kerana Timbalan Perdana Menteri sering menyerang peribadinya serta meminta beliau ‘bertaubat’ ekoran kenyataannya pada 21 Ogos lalu.

"Secara peribadi (Ketua Pemuda Umno) Khairy Jamaluddin tidak banyak mengecam saya.

"Yang suruh saya bertaubat, bertakwa (adalah) Timbalan Presiden Umno. Jadi elok saya bertemu dengan dia," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS di sini, Selasa.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu turut menegaskan Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh merupakan tokoh yang paling ideal kerana kawasan Parlimen berkenaan berdekatan dengan Bukit Kepong.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata surat jemputan untuk berdebat dengan Muhyiddin akan dihantar dalam minggu ini.

Sebelum ini, Tuan Ibrahim dilaporkan mencadangkan supaya PAS berdebat secara terbuka dengan Umno dalam isu ‘Siapakah layak digelar pejuang kemerdekaan yang sebenar’?

Cabaran itu kemudiannya disahut oleh Khairy yang menyatakan kesediaannya untuk berdebat dengan pemimpin nombor dua PAS.

Bagaimanapun, Mohamad dilaporkan menolak pelawaan tersebut dan telah menyerahkan soal debat tersebut kepada Pemuda Pas.

Isu Bukit Kepong mula panas apabila Mohamad dalam satu ceramah di Tasek Gelugor Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu dilaporkan berkata seorang lelaki Melayu, yang dikenali sebagai Mohamad Indera telah bersekongkol dengan 200 anggota komunis lain menyerang Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950, sebelum membunuh 25 anggota polis dan keluarga mereka dalam tragedi itu ialah hero sebenar yang memperjuangkan kemerdekaan negara.

Ekoran kenyataan kontroversi itu, lebih 500 laporan polis telah dibuat terhadap Timbalan Presiden PAS itu sebagai mengecam tindakannya itu.

Sementara itu, Mohamad berkata beliau akan memfailkan saman terhadap akhbar Utusan Malaysia kerana didakwa telah memutar belitkan ucapannya dalam ceramah berkenaan.

"Utusan Malaysia telah memutar belitkan fakta dalam ucapan saya. Saya mempunyai transkrip ucapan penuh pada malam itu.

"Tetapi mereka telah putar belitkan ucapan saya. Malam ini saya akan berjumpa dengan peguam untuk berbincang mengenainya. Maklumlah cuti hari raya semua orang sibuk beraya.

“Insya-Allah kita akan lihat apa langkah seterusnya yang boleh diambil dalam hal ini,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain