suria

Buku Etika & Adat Bantu Promosi Tradisi Budaya M'sia

KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen pada Selasa melancarkan buku panduan edisi terbaru mengenai protokol, etika, budi pekerti, adat dan kebudayaan rakyat Malaysia hasil tulisan seorang penceramah berpengalaman.

Buku setebal 124 halaman yang dihasilkan Datuk Paduka Noor Aini Abdullah merupakan buku panduan edisi terbaru mengenai adat dan etika bagi mempromosikan tradisi dan kebudayaan rakyat Malaysia.

Dr Ng berkata, buku itu amat penting dalam perspektif pelancongan kerana ia membantu pelancong memahami budaya masyarakat setempat dan menarik mereka untuk mengenali adat dan tradisi rakyat Malaysia.

"Warisan dan budaya adalah penting sebagai produk pelancongan memandangkan pelancong yang datang untuk melawat sambil beli belah di sini, mereka juga ingin melihat kehidupan harian masyarakat berbilang kaum di negara ini," katanya pada majlis itu.

Buku dengan bab baru, satu daripadanya Protokol Korporat yang bertujuan bagi memperbetulkan penggunaan gelaran dan pangkat sosial dan diplomatik selain menyemai kesedaran dan perasaan hormat berhubung tradisi dan adat resam utama rakyat Malaysia yang diterbitkan oleh sebuah syarikat penerbitan, Marshall Cavendish.

"Setakat ini, saya telah memasukkan satu bab baru yang dipanggil Protokol Korporat bagi menyediakan para pembaca dengan petua yang praktikal dan fungsi dan garis panduan berhubung perkara yang boleh dan tidak patut dilakukan, katanya semasa berucap pada majlis pelancaran buku itu di sini.

Bab yang lain mengenai Sabah dan Sarawak menonjolkan mengenai tradisi dan budaya pelbagai kumpulan etnik di kedua buah negeri itu.

Edisi terbaru itu kini boleh didapati di semua kedai buku utama di Malaysia, Singapura dan Brunei. Buku panduan mengenai adat dan etika rakyat Malaysia pertama kali diterbitkan pada 1991.

"Penggunaan gelaran seperti adik,kakak dan puan akan menunjukkan betapa hormatnya antara seseorang dengan orang yang lain dan kita perlu berbangga kerana memiliki adat dan budaya seperti ini yang tidak mungkin akan berkubur," katanya.

Noor Aini merupakan anak bongsu kepada bekas diplomat, penulis terkenal dan ketua protokol, Allahyarham Datuk Abdullah Ali dan Datin Badariah Abdul Aziz.

Beliau bekerja dengan Pejabat Pelancongan Malaysia di London dengan arwah bapanya, mengadakan ceramah berkaitan dengan protokol, etika dan budi pekerti rakyat Malaysia dan buku pertamanya "Jadilah Wanita Yang Dikagumi" merupakan buku yang laris dijual. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain