suria

Tokoh Maulidur Rasul Tahun 2000 Meninggal Dunia

PUTRAJAYA: Tokoh Maulidur Rasul tahun 2000 yang juga tokoh falak Md Adnan Md Daud, 72, meninggal dunia pada pukul 4 petang tadi.

Beliau meninggal dunia di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur, menurut kenyataan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada Isnin.

Allahyarham memulakan kerjayanya pada 1978 di Bahagian Penyelidikan, Bahagian Hal Ehwal Islam yang kini dikenali sebagai Jakim selama 16 tahun, sebelum berkhidmat secara kontrak sebagai Ketua Unit Falak Jakim selama sepuluh tahun.

Antara sumbangan besar Allahyarham ialah mencadangkan penubuhan Unit Falak di Jabatan Mufti dan menggerakkan penggunaan teleskop berkomputer bagi rukyah (cerapan) anak bulan di negeri-negeri.

Penulis buku Kaedah Panduan Falak Syarie dan Kaedah Penentuan Awal Hijrah itu juga, pernah membabitkan diri dalam menterjemahkan kitab hadis 'Bulugul Maram' ke Bahasa Melayu.

Allahyarham juga terkenal dengan kemahiran dan berpengalaman luas dalam bidang falak malah sering menjadi rujukan kepada ahli falak lain termasuk dari Brunei, Indonesia dan Singapura.

Selain itu, Allahyarham juga sering mewakili negara dalam Mesyuarat Falak Antarabangsa dan merupakan salah seoarang Anggota Jawatankuasa Falak Syarie Wilayah Persekutuan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain