suria

Tabung Amanah Dicadang Diwujudkan Untuk Keluarga Noramfaizul

KUALA LUMPUR: Presiden Social Care Foundation Tan Sri Robert Phang mencadangkan penubuhan satu tabung amanah bagi menyelenggarakan dana daripada sumbangan pelbagai pihak kepada keluarga Allahyarham jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor yang terbunuh di Somalia pada Jumaat lepas.

Phang berkata dengan adanya tabung itu, sumbangan orang ramai dapat diuruskan dengan lebih sistematik bagi kemudahan keluarga Allahyarham pada masa hadapan.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan peribadi sebanyak RM50,000 kepada keluarga Noramfaizul. "Sebagai rakyat Malaysia, bantuan hendaklah disampaikan kepada orang yang memerlukan tanpa mengira bangsa," katanya ketika ditemui di kediaman keluarga Noramfaizul dekat sini, pada Isnin.

Beliau turut menyatakan rasa simpatinya terhadap keluarga Allahyarham yang kehilangan insan tersayang ketika sambutan Aidilfitri.

Sementara itu, bapa Noramfaizul, Mohd Nor Abdul Majid menyokong cadangan Phang kerana sebuah tabung amanah akan lebih memudahkan pengurusan wang yang disumbangkan oleh pelbagai pihak.

Pada Isnin keluarga Allahyarham turut menerima sumbangan RM3,000 daripada Tabung Kebajikan Wartawan Kelab Wartawan Kebangsaan (NPC), yang disampaikan oleh penasihat kelab, Datuk Noraina Samad.

Presiden NPC Mokhtar Hussein, yang turut menziarah keluarga Noramfaizul, berkata pihaknya mengalu-alukan sumbangan daripada mana-mana pihak yang ingin menyalurkan sumbangan kepada kelab itu bagi membela nasib wartawan di negara ini.

"Dana yang kami ada hanyalah kecil-kecilan dan kami menyeru mana-mana pihak supaya tampil memberikan sumbangan bagi membolehkan kami mewujudkan insuran melindungi warga media jika mereka ditimpa kesusahan," katanya.

Noramfaizul, 39, terbunuh akibat terkena tembakan curi semasa menaiki pacuan empat roda dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan dari membuat liputan pemberian bantuan kepada mangsa kemarau dan kebuluran daripada Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Somalia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain