suria

Penyelia Kilang Didakwa Menyamar Polis

KUALA LUMPUR: Seorang penyelia kilang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Isnin, atas tuduhan menyamar sebagai seorang anggota polis pada minggu lalu.

Tertuduh, Kiranjit Singh, 26, didakwa melakukan perbuatan itu dengan tujuan mahu memeriksa dokumen pengenalan diri dua lelaki warga Bangladesh yang dikenali sebagai Manun dan Md Shahir Alan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul 8 malam, 26 Ogos lalu di sebuah rumah nombor 15-5, Tingkat 3, Menara Putra, Jalan Putra, Dang Wangi, di sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Abu Hassan Ramli mengikut Seksyen 107 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Majistret Siti Shakirah Moktaruddin tidak menetapkan sebarang jaminan terhadap tertuduh, ekoran tiada sesiapa yang hadir untuk menjaminnya.

Siti Shakirah seterusnya menetapkan 4 Oktober ini sebagai sebutan semula untuk membolehkan tertuduh melantik peguam.

Artikel Sebelum

Artikel Lain