suria

Empat Maut Dalam Tiga Nahas Jalan Raya Di Pahang

KUANTAN: Empat maut dalam tiga nahas jalan raya di Pahang, pada Ahad.

Dalam kejadian pertama, dua lelaki maut apabila kereta yang dinaiki bersama tiga yang lain terbabit dalam nahas jalan raya yang melibatkan lima kenderaan di Km13, Jalan Lipis - Benta dekat Kuala Lipis kira-kira pukul 5.30 petang.

Pemandu kereta itu, A. Puveneswaran, 31, dan penumpangnya, H. Khartik, 18, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Superintendan Mohd Fauzi Abdul Rahim berkata tiga lagi penumpang kereta terbabit cedera ringan.

Beliau berkata kereta mangsa yang dari arah Benta menuju ke Lipis terbabas ke kanan jalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah motosikal.

"Kereta mangsa yang berpusing selepas pertembungan itu kemudiannya dirempuh sebuah lagi kereta manakala kenderaan pacuan empat roda yang tersasar melanggar sebuah lagi lain kereta di hadapannya," katanya.

Dalam kejadian berasingan, seorang penunggang motosikal terbunuh apabila dirempuh sebuah kereta jenis Proton Saga secara bertentangan di Km75 Jalan Pekan-Terapai dekat Chini pada pukul 5 petang.

Mangsa, berketurunan Orang Asli, Armi Jafri Asing, 21, maut ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Chini akibat cedera parah di kepala.

Dalam satu lagi kejadian, seorang kanak-kanak lelaki maut apabila kereta Perodua Kenari yang dipandu bapanya bersama tiga anggota keluarga yang lain merempuh belakang sebuah jengkaut di Km28.9 Jalan Ibam - Rompin, dekat Pekan.

Kejadian pada pukul 9 malam itu menyebabkan Mohammad Harikh Ismail, 9, cedera parah di kepala dan mati di tempat kejadian.

"Kereta yang datang dari arah Ibam menuju ke Rompin itu hilang kawalan dan terlanggar bahagian belakang jengkaut menyebabkan kereta itu berpusing-pusing beberapa kali sebelum bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain