suria

Cadangan Hadkan Bilangan Pengedar Asid

KUALA KRAI: Ekoran beberapa kejadian simbah asid khususnya di ibu negara, Persatuan Pelindung Pengguna Kelantan (Pelindung) mencadangkan agar kerajaan mengehadkan bilangan pengedar bahan itu bagi memastikan cecair berbahaya itu tidak dapat digunakan secara berleluasa.

Presiden Pelindung, Ahmad Othman, berkata asid kini menjadi bahan untuk melakukan kejahatan terutama membalas dendam oleh seseorang individu terhadap individu yang lain.

"Penjualan asid di pasaran melalui pengedar-pengedarnya yang ramai di seluruh negara sehingga ia mudah didapati dan dibeli sesiapa sahaja mungkin menjadi faktor yang perlu dibendung," katanya kepada Bernama di sini.

Ahmad berkata pemantauan dan kawalan yang ketat wajar dilaksanakan terhadap penjualan asid bagi memastikan individu yang membelinya tidak menggunakan cecair itu untuk tujuan tidak baik.

"Kalau boleh pastikan ada kamera CCTV di setiap premis pengedar asid dan juga mungkin boleh rekodkan nama dan nombor kad pengenalan pembeli asid," katanya.

Ahmad juga mencadangkan kerajaan mengenakan harga bagi asid yang dijual dalam kuantiti yang kecil.

"Biasanya asid digunakan dalam industri dengan kuantiti yang banyak, manakala bagi kes simbah asid pula, hanya kuantiti kecil yang digunakan, justeru harga jualan dalam kuantiti yang kecil mungkin boleh dinaikkan agar mereka yang tidak bertanggungjwab tidak boleh membeli cecair itu dengan mudah kerana harganya yang tinggi," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain