suria

Najib Ingatkan Misi Bantuan Kemanusiaan Perlu Persiapan Rapi

SUBANG: Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan semua misi-misi bantuan kemanusiaan dari Malaysia selepas ini perlu membuat persiapan rapi termasuk meningkatkan ciri-ciri keselamatan.

Perdana Menteri menegaskan, persiapan sebaiknya perlu dilakukan terutamanya misi bantuan ke wilayah-wilayah konflik.

"Sememangnya bertugas di kawasan konflik ini berisiko tinggi jadi persiapan amat penting," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Sebelum itu selain anggota keluarga, Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor turut menyambut ketibaan jenazah Allahyarham Noramfaizul dan kumpulan misi bantuan kemanusiaan bertujuan membantu mangsa kebuluran di Somalia.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Perdana Menteri berkata, beliau sebagai penaung misi bantuan berkenaan berpuas hati dengan langkah-langkah keselamatan yang diambil.

Ini termasuk, katanya, bantuan tentera pengiring kerajaan Somalia.

"Tetapi apa yang berlaku ini adalah di luar jangkaan kita, konvoi kita bukan sasaran," ujarnya.

Mengenai laporan kejadian itu, beliau memberitahu akan memperolehnya daripada kerajaan Somalia dalam masa dua hari ini.

Artikel Lain