suria

Majikan Perlu Pastikan Keselamatan Wartawan - NUJ

KUALA LUMPUR: Kematian jurukamera BernamaTV selepas terkena tembakan curi di Somalia semalam perlu dijadikan peringatan kepada wartawan dan majikan mereka supaya mematuhi prosedur operasi standard sama ada tugasan itu di Malaysia atau di seberang laut.

Dalam satu kenyataan Sabtu, Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), berkata para majikan perlu memastikan bahawa pekerja mereka disediakan dengan peralatan perlindungan secukupnya seperti jaket dan helmet kalis peluru apabila membuat liputan di zon perang atau konflik.

"Paling penting, para majikan perlu memberi penerangan kepada wartawan, jurugambar dan jurukamera mereka mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan apabila membuat liputan di mana nyawa mereka dalam risiko," kata setiausaha agungnya V.Anbalagan.

Beliau berkata, jika perlu, majikan perlu mengambil polisi insurans bagi melindungi kematian atau kecederaan kakitangan mereka.

"Tapi, jika mereka tidak dilindungi, para majikan perlu menimbang secara serius sama ada untuk menghantar mereka untuk tugasan sedemikian," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan berikutan kematian Noramfaizul Mohd Nor, 39, selepas terkena tembakan curi di Mogadishu semasa mengikuti Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia untuk membantu mangsa bencana kemarau dan kebuluran di Somalia.

Anbalagan berkata kesatuan itu akan mengeluarkan buku panduan keselamatan komprehensif tidak lama lagi untuk wartawan yang membuat liputan gempa bumi, banjir dan pergolakan sosial sama ada dalam atau di luar negara.

"Tetapi tanggungjawab mengenai keselamatan dan kebajikan wartawan masih merupakan tanggungjawab para majikan kerana mereka memutuskan sama ada untuk membuat liputan itu atau tidak," katanya sambil mengucapkan takziah kepada keluarga Noramfaizul.

Sementara itu, anggota pemegang amanah Yayasan 1Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye berkata keselamatan dan perlindungan bagi mereka yang mengikuti misi kemanusiaan perlu diberikan perhatian utama oleh rakyat Somalia.

"Saya sedih perkara ini berlaku apabila Malaysia, melalui Kelab Putera 1Malaysia, terbabit dalam misi paling mulia bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada Somalia," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Lee juga berkata anggota misi kemanusiaan termasuk kakitangan media, perlu disediakan dengan peralatan perlindungan seperti jaket kalis peluru dan peralatan lain yang perlu.

"Pihak berkuasa perlu mengkaji semula semua aspek keselamatan. Ini bagi melindungi pengamal media terutama mereka yang ditugaskan untuk membuat liputan di tempat-tempat yang bergolak," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain