suria

Lelaki Cedera Di Muka Disimbah Dengan Cecair Dipercayai Asid

SANDAKAN: Seorang lelaki cedera dimuka akibat disimbah dengan cecair dipercayai asid oleh seorang penunggang motosikal di Batu 9 Jalan Labuk dekat sini Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan Supt Fadzil Mohd Ali berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 12 tengah hari ketika mangsa yang berusia 43 tahun itu dalam perjalanan menuju ke rumah rakannya.

Katanya mangsa yang memandu sebuah kereta bersama isteri dan dua anak mereka tiba-tiba dihalang oleh sebuah motosikal yang ditunggangi oleh seorang lelaki.

Menurutnya mangsa kemudian turun dari keretanya untuk bertemu lelaki itu dan berlaku pertengkaran di antara mereka.

Beliau berkata lelaki berkenaan kemudian bertindak menyimbah cecair dipercayai asid ke muka mangsa dan terus melarikan diri.

"Mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Duchess Of Kent oleh isternya dan keadaannya kini dilaporkan stabil," katanya di sini, Ahad.

Fadzil berkata polis sedang menyiasat motif kejadian dan telah mengenal pasti identiti suspek dengan gerakan mengesannya sedang giat dilakukan. - BERNAMA

Artikel Lain