suria

Jiran Pamer Semangat 1Malaysia Ketika Bantu Keluarga Allahyarham Noramfaizul

KUALA LUMPUR: Semangat kejiranan 1Malaysia jelas terserlah di Taman Serdang Jaya apabila jiran ibu bapa Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor, yang terdiri daripada pelbagai bangsa, turut membantu meringankan beban keluarga itu.

M.Rajeswaran, 33, berkata mereka bekerjasama menyediakan kerusi serta membekalkan air mineral untuk tetamu yang menziarah keluarga Noramfaizul sejak berita kematiannya dilaporkan Jumaat.

Jurukamera BernamaTV Noramfaizul, 39, maut akibat terkena tembakan peluru sesat semasa membuat liputan misi kemanusiaan di Mogadishu, Somalia.

Rajeswaran, yang merupakan jiran keluarga Allahyarham sejak 20 tahun lepas, berkata beliau turut membantu menjadi penunjuk jalan bagi tetamu yang sesat ketika mahu ke rumah keluarga Noramfaizul.

Beliau memberitahu Bernama bahawa ramai jiran yang bukan beragama Islam turut berjaga bersama keluarga Noramfaizul bagi meringankan kedukaan mereka.

Rajeswaran berkata ketika keluarga Noramfaizul dimaklumkan mengenai kematian anak lelaki tunggal mereka, beliau baharu pulang dari tempat kerja, dan terus menghulurkan bantuan yang termampu bersama keluarganya.

Selain itu, pemerhatian pemberita mendapati semua penduduk di kawasan itu menunjukkan komitmen dan kerjasama yang tinggi ketika membantu keluarga Allahyarham. - BERNAMA

Artikel Lain