suria

Dua Remaja Mati Lemas Di Laguna Semerak

PASIR PUTEH: Dua remaja mati lemas manakala tiga lagi terselamat dalam kejadian pasir jerlus di Laguna Semerak di sini, petang Sabtu ketika mereka mencari siput laut semasa berkelah di kawasan teluk itu.

Kejadian pasir jerlus kira-kira 3.30 petang itu meragut nyawa Nik Norfatin Izati Nik Mohd Noor, 15, dan Nik Norhidayah Nik Man, 11, yang secara kebetulan berada di kawasan yang sama ketika mencari siput laut.

"Kedua-dua mangsa dipercayai terjerlus dan terperangkap di kawasan curam ketika kejadian itu," kata Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh Kaharuddin Yahya ketika ditemui pemberita di sini, Ahad.

Kedua-dua mangsa itu yang menetap di Pasir Puteh bagaimanapun tidak mempunyai pertalian persaudaraan. Nik Norfatin Izati adalah murid Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gaal dan Nik Norhidayah pula ialah pelajar Sekolah Kebangsaan Bukit Awang di Pasir Puteh.

Menurut Kaharuddin, tiga saudara sepupu Nik Norhidayah, yang menyertai acara berkelah bersamanya dan keluarga sempena cuti Hari Raya Aidilfitri, bagaimanapun sempat diselamatkan oleh orang ramai yang turut berada di kawasan tersebut.

Mangsa yang terselamat ialah Norhayati Shamsuddin, 14, dari Pasir Puteh, Mohd Halim Mohd Zahid, 12, dari Johor, dan Nabila Mohd Azmi, 15, dari Bangi, Selangor.

Norhayati dan Mohd Halim diberi rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tengku Anis di sini manakala Nabila pula dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Baharu untuk mendapat rawatan lanjut.

Kaharuddin berkata 14 anggota bomba dan penyelamat serta Unit Skuba dari Kota Baharu menjumpai mangsa yang terperangkap dalam pasir jerlus itu kira-kira pukul 5 petang semalam tidak jauh dari tempat kejadian.

Dengan kematian tersebut menjadikan mereka mangsa ke-28 yang terkorban di kawasan teluk berkenaan sejak lebih 10 tahun lepas, katanya. Sementara itu, bapa Nik Norfatin, Nik Mohd Noor Junoh, 39, ketika ditemui di Hospital Tengku Anis di sini hari ini berkata ketika kejadian beliau berada tidak jauh dari tempat anaknya mencari siput.

"Saya sedar (kejadian itu) apabila terdengar suara riuh rendah suara orang menjerit dan setelah mendekatinya rupa-rupanya anak saya hilang ditelan arus," katanya.

Beliau menerima kejadian itu sebagai takdir ketentuan Ilahi. - BERNAMA

Artikel Lain