suria

Presiden Somalia Kesal Dengan Kematian Jurukamera BernamaTV

PUTRAJAYA: Presiden Somalia Sharif Sheikh Ahmed menyampaikan ucapan takziah dan kekesalan beliau atas kematian Jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor, yang terbunuh kerana tembakan peluru sesat di Mogadishu pada Jumaat.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata ucapan takziah itu disampaikan oleh presiden berkenaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pemimpin Somalia itu menghubungi Najib.

Anifah berkata kerajaan Somalia juga memberi jaminan untuk menjalankan siasatan dan laporan yang menyeluruh berhubung insiden pahit tersebut.

"Menteri Dalam Negeri Somalia telah menjanjikan kita (kerajaan Malaysia) siasatan serta laporan yang rapi. Presiden Somalia telah menghubungi Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk menyampaikan ucapan takziah di atas pemergian Allahyarham (Noramfaizul) serta kekesalan beliau di atas kejadian tersebut," katanya dalam kenyataan di sini Sabtu.

Noramfaizul, 39 meninggal dunia pukul 11 malam waktu Malaysia pada Jumaat selepas terkena tembakan peluru sesat di bahu kanan yang menusuk paru-parunya semasa pulang ke tempat kediaman selepas membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia bagi membantu mangsa bencana kemarau dan kebuluran di Somalia.

Beliau adalah antara 55 anggota misi tersebut yang berlepas ke Mogadishu, Somalia pada 28 Ogos lepas.

Anifah berkata kawalan keselamatan di hotel penginapan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia juga telah dipertingkatkan.

Katanya persediaan sedang dilakukan untuk membawa pulang jenazah Allahyarham dan kesemua anggota misi itu dengan menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan dijangka tiba di tanah air pada pagi Ahad.

Anifah berkata pihak keselamatan Somalia juga telah berjanji akan memberikan kawalan ketat bagi perjalanan misi Malaysia dari tempat penginapan ke lapangan terbang. - BERNAMA

Artikel Lain