Penunggang Motosikal Maut Dirempuh Bas - Semasa | mStar

Penunggang Motosikal Maut Dirempuh Bas

KUANTAN: Seorang penunggang motosikal maut akibat dirempuh sebuah bas di persimpangan lampu isyarat Jalan Bukit Ubi di sini, pagi Sabtu.

Dalam kejadian 11.15 pagi itu, mangsa, Hoi Chien Teck, 34, dari Kampung Sungai Soi, di sini mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan selepas terperosok di bawah bas itu.

Sebelum kejadian, lelaki itu dipercayai baru sahaja selesai membaiki motosikalnya di sebuah bengkel berhampiran tempat kejadian sebelum menghala ke Jalan Gambut di sini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner (ACP) Mohd Jasmani Yusof berkata mangsa kemudian cuba melintas jalan dengan motosikalnya tanpa menyedari kehadiran bas yang sedang dalam perjalanan dari Maran ke Terminal Makmur itu.

Mohd Jasmani berkata pemandu dan penumpang bas seramai 20 orang berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan polis sudah merekodkan keterangan pemandu berusia 59 tahun itu untuk membantu siasatan.

Kes itu katanya disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

default image

Sorotan Mingguan

Artikel Lain