suria

Pemuda Gerakan Cadang Wujudkan Jawatan Timbalan Menteri Besar Kedah

ALOR SETAR: Pemuda Gerakan Kedah mencadangkan diwujudkan jawatan Timbalan Menteri Besar bagi memastikan pentadbiran negeri tidak terjejas sekiranya pimpinan tertinggi kerajaan negeri ini tidak dapat berfungsi bagi suatu tempoh yang panjang.

Ketuanya Tan Keng Liang berkata cadangan yang memerlukan perkenan Sultan Kedah itu perlu dikaji dan dipertimbang kerana Undang-Undasng Tubuh negeri sekarang tidak mempunyai sebarang peruntukan mengenai jawatan itu.

"Dalam hal ini, kita harus memahami tiada pihak yang dapat meramalkan masalah kesihatan atau malapetaka lain yang mungkin terjadi ke atas mana-mana Menteri Besar Kedah, sama ada di pihak pakatan pembangkang atau Barisan Nasional.

"Sebuah kerajaan negeri yang stabil harus mempunyai peruntukan untuk apa-apa kejadian yang mungkin menimpa pemimpin tertingginya," katanya dalam satu kenyataan di sini, Sabtu.

Tan berkata cadangan itu dibuat ekoran keadaan kesihatan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang dikatakan terjejas selepas diserang sakit jantung Julai lepas.

Katanya, dengan adanya peruntukan bagi jawatan itu dalam peruntukan Undang-undang Tubuh negeri, jika Menteri Besar tidak dapat berfungsi dalam tempoh 30 hari, maka Timbalan Menteri Besar bolehlah mengambil alih fungsi mentadbir kerajaan negeri.

Beliau berharap pakatan pembangkang negeri Kedah dapat meneliti cadangan ini bagi kestabilan pentadbiran kerajaan negeri pada masa hadapan demi kebaikan rakyat negeri Kedah. - BERNAMA

Artikel Lain