suria

Geng Kad Kredit Bangalore-Malaysia Tumpas

NEW DELHI: Polis India berjaya menumpaskan sindiket hubungan Bangalore-Malaysia yang menggunakan kad kredit klon bagi membeli barangan bernilai RM1.3 juta di pusat-pusat beli-belah di sini.

Polis Bangalore sedang berusaha menjejaki seorang warga Malaysia, dikatakan perancang dalam kumpulan itu, juga disyaki ada hubungan dengan anggota kumpulan Liberation Tigers Tamil Eelam (LLTE).

"Perancang itu tinggal di Malaysia. Beliau menggodam akaun bank di serata dunia, termasuk India, menerusi internet dan mengumpul butiran identiti yang unik termasuk PIN (nombor identifikasi peribadi).

"(Perancang) kemudian mengirim butiran itu kepada orang hubungan di Chennai, yang kemudian menghantarnya kepada anggota-anggota gang berkenaan yang tinggal di beberapa bahagian negara ini," kata Pesuruhjaya Polis Bangalore B.G Jyothi Prakash Mirji, disebut oleh sebuah akhbar tempatan.

Penumpasan itu terhasil dua minggu selepas polis Australia mendakwa lima pakar tipu dari Malaysia dan Sri Lanka di Sydney kerana mengendali sebuah sindiket antarabangsa yang pakar dalam melakukan jenayah kolar putih.

Bila polis menangkap dua warga India di Bangalore Selasa lepas, mereka merampas produk elektronik, kelengkapan gym, botol arak dan kira-kira lima kg emas, semuanya dibeli dengan menggunakan kad kredit palsu, lapor akhbar itu.

Dua suspek yang ditahan ialah Jai Kumar @ Shyam Velu, 39, dan Wasim Anwar Pasha @ Wasim, 25.

Menurut siasatan, perancang di Malaysia itu telah membekalkan kad kredit kosong kira-kira RM400 setiap satu bersama mesin cetak kad kredit.

Polis masih berusaha menjejaki enam lagi anggota utama gang berkenaan di bandaraya ini. - BERNAMA

Artikel Lain