suria

Rakyat Patut Tolak PAS Berikutan Kenyataan Mat Sabu - Mohd Ali Rustam

ALOR GAJAH: Rakyat patut menolak parti PAS pada pilihan raya umum akan datang berikutan kenyataan kontroversi yang dicetuskan oleh Timbalan Presidennya Mohamad Sabu berhubung tragedi Bukit Kepong.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata kenyataan Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu baru-baru ini dilihat menghina pejuang kemerdekaan dan sebaliknya memuliakan Komunis.

"Dia (Mat Sabu) sepatutnya memohon maaf kepada pejuang negara dan rakyat atas kenyataannya itu," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Abd Karim Sulaiman di Tanjung Bidara dekat sini, Khamis.

Mohd Ali, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, berkata tanpa pengorbanan pejuang negara terdahulu seperti polis, tentera dan pemimpin, sudah tentu negara tidak mencapai kemerdekaan.

Sementara itu, Abd Karim yang juga Yang Dipertua Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Melaka, berkata kenyataan Mat Sabu itu tidak boleh dimaafkan kerana perbuatannya itu menyakiti hati pejuang negara. - BERNAMA

Artikel Lain