suria

Puteri Umno Mahu Mat Sabu Minta Maaf Kepada Rakyat Malaysia

PAPAR: Pergerakan Puteri Umno mendesak Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu supaya meminta maaf kepada rakyat negara ini atas kenyataannya berhubung tragedi Bukit Kepong yang mendakwa penyerang anggota keselamatan dan keluarga tragedi itu adalah hero sebenar dalam perjuangan kemerdekaan negara.

Ketua pergerakan itu Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata ini kerana kehidupan dan keamanan yang dirasai oleh pemimpin berkenaan bersama keluarganya adalah hasil perjuangan pemimpin lampau yang memperjuangkan kemerdekaan negara.

Beliau berkata Puteri Umno kecewa dengan kenyataan Mohamad Sabu, atau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, dan mahu beliau menarik balik kenyataannya itu.

“Ini merupakan satu kenyataan yang sungguh tidak bertanggungjawab dan boleh menyebabkan keluarga yang terlibat terutama sekali keluarga pejuang-pejuang kita yang telah pergi berasa sedih, lebih-lebih lagi kita berada dalam suasana kemerdekaan serentak dengan sambutan Hari Raya.

“Kenyataan begitu sewajarnya tidak dikeluarkan oleh mana-mana pihak atau mana-mana parti politik sekalipun,” katanya kepada pemberita pada Rumah Terbuka Hari Raya anjurannya di Dewan Masyarakat Papar, di sini, Khamis. - BERNAMA

Artikel Lain