suria

Pelajar Parah Ditembak Di Hadapan Kelab Malam

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar cedera parah ditembak dalam satu kejadian di hadapan sebuah kelab malam berhampiran Taman Seri Rampai, Setapak di sini, Rabu.

Ketua Polis Sentul Asisten Komisioner (ACP) Zakaria Pagan berkata dalam kejadian pada pukul 6 pagi itu, pelajar lelaki yang berumur dalam lingkungan 20-an bersama tiga lagi rakannya baru sahaja memasuki kereta untuk meninggalkan kelab malam berkenaan apabila mereka didatangi sekumpulan lelaki.

"Seorang daripada mereka menghentak cermin belakang kereta itu dengan menggunakan sebatang besi," katanya ketika ditemui pemberita di sini Rabu.

Pelajar berkenaan dan tiga rakannya kemudian keluar dari kereta untuk melarikan diri.

Bagaimanapun seorang daripada penyerang itu melepaskan tembakan yang mengenai bahagian punggung dan kaki pelajar berkenaan.

Kumpulan itu kemudian melarikan diri, katanya.

Pelajar yang cedera itu menerima rawatan di Hospital Ampang. Polis menemui lima biji kelongsong peluru di tempat kejadian.

Belum ada tangkapan dibuat setakat ini.

Beliau berkata polis sedang menyiasat motif kumpulan lelaki berkenaan dan mengenal pasti sama ada pelajar dan rakan-rakannya serta kumpulan penyerang itu saling mengenali. - BERNAMA

Artikel Lain