suria

Malaysia Percaya Perjanjian Pemohon Suaka Dengan Australia Adalah Terbaik

KUALA LUMPUR: Malaysia percaya perjanjian pertukaran pemohon suaka dengan Australia masih merupakan cara terbaik untuk menangani kegiatan penyeludupan dan pemerdagangan manusia walaupun Mahkamah Tinggi Australia, Rabu, menolak perjanjian tersebut.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata kerajaan berazam untuk membanteras masalah tersebut dan akan bekerjasama rapat dengan kerajaan Australia dalam menentukan bentuk tindakan terbaik.

"Kami tetap percaya perjanjian dua hala ini merupakan cara terbaik untuk melindungi kepentingan Australia, Malaysia dan terutamanya pelarian itu sendiri daripada pihak-pihak yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan dan pemerdagangan manusia," kata KDN dalam kenyataan di sini.

Hakim Mahkamah Tinggi Australia, Robert French, memerintahkan supaya Menteri Imigresen Chris Bowen dan jabatannya disekat daripada menghantar pemohon suaka ke Malaysia.

Katanya perjanjian tersebut telah dilakukan tanpa kuasa dan ianya tidak sah.

Melalui perjanjian yang dimeterai di Kuala Lumpur pada 25 Julai lalu, Australia akan menghantar 800 pemohon suaka ke Malaysia manakala 4,000 pelarian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini dihantar ke negara berkenaan. - BERNAMA

Artikel Lain