suria

Kelab Putera 1Malaysia Mahu Buka Kem Di Somalia

MOGADISHU (SOMALIA): Kelab Putera 1 Malaysia bercadang menaja sebuah penempatan sementara bagi membantu mangsa bencana kemarau dan kebuluran di Somalia.

Presidennya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata membuka penempatan sementara lebih praktikal berbanding menghantar barangan bantuan ke kem-kem berkenaan kerana risiko keselamatan.

"Pada masa yang sama, kita cadang menanti arahan seterusnya daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sama ada kita boleh buka kem itu. Kita telah kenal pasti kem itu," kata beliau yang mengetuai misi bantuan ke Somalia.

Abdul Azeez berkata demikian selepas melawat dan memberi bantuan di kem penempatan sementara terbesar di Badbado yang terletak dalam wilayah Mogadishu.

Katanya beberapa negara termasuk Turki, Iran dan Sudan sudah membuka kem sebagai langkah jangka panjang membantu mangsa bencana kebuluran Somalia.

Anggota sukarelawan kelab itu, yang terdiri daripada 55 anggota termasuk 18 doktor, turut melakukan pemeriksaan kesihatan di kem penempatan sementara Awaana, juga dalam wilayah Mogadishu.

Selain itu, kelab berkenaan turut menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia ke-54 Malaysia pada Rabu yang dilakukan secara ringkas dengan nyanyian lagu kebangsaan "Negaraku" serta laungan "Merdeka" dan "1Malaysia".

Misi berkenaan menyediakan 250 tan bekalan bahan makanan dan ubat-ubatan bagi keperluan 45,000 keluarga di Somalia yang menderita akibat bencana kemarau.

Anggota misi yang turut dibantu 26 anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tiba dengan pesawat Charlie C-130 pada Isnin. - BERNAMA

Artikel Lain