suria

Tiada Rancangan Tubuh Sebuah Lagi Parti Komponen - Taib

KUCHING: Barisan Nasional (BN) Sarawak tidak bercadang untuk menubuhkan sebuah lagi parti politik lebih-lebih apabila satu daripada parti komponennya mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya negeri pada April lepas, kata Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Beliau berkata kaum Cina di Sarawak perlu memelihara perpaduan di kalangan mereka agar kepentingan mereka terbela.

Kenyataan beliau itu secara tidak langsung merujuk kepada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), parti kedua terbesar di Sarawak, yang mengalami kekalahan di 13 daripada 19 kawasan yang ditandinginya pada pilihan raya negeri pada 16 April lepas.

"SUPP harus bertanya kepada diri sendiri apa yang mereka boleh lakukan untuk kaum Cina," kata Taib yang juga Pengerusi BN negeri.

Terdahulu beliau menerima kunjungan kira-kira 1,000 anggota Persekutuan Persatuan Chiang Chuan Sarawak dan Persekutuan Persatuan Tujuh Keluarga pada rumah terbuka beliau sempena Aidilfitri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini.

Ketika ditanya sama ada penubuhan persatuan keluarga di kalangan masyarakat Cina akan membantu mengembalikan keyakinan mereka terhadap BN, beliau berkata langkah itu ada kaitan dengan fabrik sosial dan keperluan untuk kembali kepada asas. - BERNAMA

Artikel Lain