suria

Ribuan Kunjungi Rumah Terbuka Muhyiddin

PAGOH: Ribuan rakyat pelbagai kaum dan agama dari sekitar Pagoh menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman di Kompleks Seri Pekembar, di sini Rabu.

Turut hadir pemimpin parti komponen Barisan Nasional termasuk Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, anaknya Chua Tee Yong yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serta pemimpin tempatan.

Rumah terbuka yang berlangsung dari 9 pagi tadi sehingga 3 petang ini dimulakan dengan upacara menaikkan Jalur gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-54 hari ini, bacaan ikrar Rukun Negara dan nyanyian lagu Jalur Gemilang.

Dr Chua yang ditemui pemberita, berkata sambutan hari raya tahun ini sangat istimewa kerana serentak dengan sambutan Hari Kemerdekaan.

"Kita berasa bangga kerana hari raya disambut serentak dengan Hari Kemerdekaan ke-54 yang mana memperkuatkan lagi perpaduan di antara pelbagai kaum dan benar-benar menggambarkan semangat 1Malaysia," katanya.

Pendapat itu turut dikongsi Ketua MIC Bahagian Pagoh T. Subramaniam yang menyifatkan sambutan kali ini dapat mempereratkan perpaduan rakyat.

Selain menikmati pelbagai juadah, tetamu juga mengambil kesempatan bergambar dengan Muhyiddin dan isterinya. - BERNAMA

Artikel Lain