suria

Mahmud Abu Bekir Bakal Ganti Adik Di Kota Samarahan?

KUCHING: Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib dijangka akan menggantikan adiknya Datuk Seri Sulaiman Taib bagi kerusi parlimen Kota Samarahan pada pilihan raya umum akan datang.

Mahmud, yang juga Timbalan Pengerusi Cahya Mata Sarawak, berkata bapa beliau, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang juga Presiden PBB sudahpun mempunyai calon bagi kawasan itu tetapi belum mendedahkan identitinya.

"Ya, saya memang berminat dalam bidang politik tetapi Ketua Menteri belum memberikan apa-apa isyarat kepada saya setakat ini," katanya kepada pemberita pada rumah terbuka Aidilfitri anjuran Taib di Pusat Persidangan Borneo Kuching, di sini.

Ketika ditanya sama ada beliau bersedia untuk menyahut cabaran sedemikian, Mahmud berkata, beliau sudahpun menganggotai PPB cawangan Kuching sejak berumur 19 tahun.

Minggu lepas, naib presiden kanan PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata Sulaiman merupakan antara anggota parlimen yang tidak akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata Sulaiman, yang dicalonkan di Kota Samarahan pada pilihan raya ke-12 pada tahun 2008 untuk menggantikan Taib, telah memberikan gambaran bahawa beliau tidak akan meminta untuk dicalonkan semula.

Sementara itu, Taib yang ditanya pemberita pada majlis itu berkata Barisan Nasional negeri akan melakukan yang terbaik pada pilihan raya itu.

Menurut beliau, jentera pilihan raya BN bersedia untuk diaktifkan pada bila-bila masa memandangkan ia baru sahaja menghadapi pilihan raya negeri pada 16 April tahun ini.

Pada pilihan raya umum 2008 yang hanya melibatkan kawasan parlimen di Sarawak, BN negeri memenangi 30 daripada 31 kerusi.

Bagaimanapun, jumlah itu berkurangan kepada 29 ketika ini apabila Richard Wong Ho Leng daripada DAP memenangi kerusi parlimen Sibu dalam satu pilihan raya kecil tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Lain