suria

Jurukamera RTM Meninggal Dunia Selepas Koma Hampir Seminggu

KUALA LUMPUR: Seorang jurukamera RTM meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dekat sini selepas berada dalam koma hampir seminggu selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya 24 Ogos lalu.

Seorang jurucakap polis trafik Selangor ketika dihubungi Bernama mengesahkan Mohd Hanif Ngiring, 29, mengalami kecederaan parah di kepala dalam kejadian yang berlaku di sebuah kawasan di Subang.

"Allahyarham ketika kejadian sedang menunggang motosikalnya dan terbabas di satu selekoh pada petang 24 Ogos itu. Akibat kejadian itu, mangsa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira 4.20 pagi tadi," katanya.

Tinjauan Bernama di laman sosialnya mendapati, terdapat ratusan ucapan takziah di atas pemergiannya dan difahamkan jenazah telah selamat dikebumikan petang tadi di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat di sini.

Turut ditemui, komen yang menyebut Allahyarham telah menimang cahaya mata sulung (perempuan) pada 27 Ogos ketika Allahyarham tidak sedarkan diri. - BERNAMA

Artikel Lain