suria

Pemandu Lori Maut Terkena Renjatan Elektrik

MARAN: Seorang pemandu lori maut selepas terkena renjatan elektrik apabila galah aluminium yang digunakannya untuk mengait kelapa terkena talian elektrik di Kampung Jara di sini pagi Isnin.

Mangsa, Mohd Tarmizi Kamaruzzaman, 22, ketika kejadian itu berlaku pada pukul 11.30 pagi, sedang membantu ayahnya, Kamaruzzaman Muhamad, 50, mengait buah kelapa untuk membuat lemang.

Menurut Kamaruzzaman, anaknya itu yang masih bujang tinggal di Kuantan dan pulang berhari raya di kampung datuknya di sini kerana teringin memakan lemang.

"Ketika mengait buah kelapa itu, tiba-tiba galah yang digunakan tersentuh talian elektrik dan tangan mangsa terlekat pada galah itu," katanya ketika dihubungi di sini Isnin.

Katanya beliau yang mendengar jeritan itu bertindak membantu menarik badan mangsa daripada galah walaupun mangsa melarang mengakibatkan badannya turut melekat bersama badan anaknya akibat renjatan itu.

Kamaruzzaman berkata beliau sekeluarga redha dengan apa yang berlaku tetapi terkilan kerana arwah tidak dapat memakan lemang buatan datuknya.

Sementara itu pemangku Ketua Polis Maran Asisten Supritendan (ASP) Sulaiman A. Hamid ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Jara di sini petang Isnin. - BERNAMA

Artikel Berikut

Azhar CEO Baru MRT Co

Artikel Lain