suria

Komited untuk jadi lebih baik...

PENULIS baru-baru ini sempat menghadiri majlis berbuka puasa anjuran Proton untuk para pengamal media dan berpeluang mendengar ucapan ringkas Pengarah Urusan Proton Holdings, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir sejurus sebelum berbuka.

Beliau menceritakan satu peristiwa yang sangat menarik iaitu tentang isu persepsi negatif mengenai kualiti tingkap kuasa atau ‘power window’ kereta Proton yang sebelum ini menjadi perbualan hangat para pengguna sehingga membawa kepada perdebatan di Dewan Rakyat.

Syed Zainal mengakui, persepsi ini sangat teruk sekali sampai ke peringkat pengguna kereta proton enggan menggunakan tingkap kuasa apabila tiba di plaza tol kerana beranggapan jika terlalu kerap menggunakannya tingkap tersebut boleh rosak.

Ini terjadi di hadapannya sendiri apabila suatu hari beliau menaiki teksi proton dari KLIA kembali ke rumahnya. Sepanjang perjalanan itu, pemandu teksi tersebut, kata Syed Zainal enggan menggunakan tingkap kuasa sehingga mendorongnya untuk bertanya kenapa dia sanggup buka pintu daripada menurunkan cermin tingkapnya itu.

Jawapan yang diberi oleh pemandu teksi itu agak melucukan. Dia kata, kawan dia beritahu jika terlalu kerap menggunakan tingkap kuasa atau menurunkan cermin pintu kereta proton, tak sampai berapa bulan tingkap itu akan rosak.

Betapa kereta-kereta proton berhadapan dengan isu persepsi negatif mengenai kualiti tingkap kuasa ini sehinggakan ia bertukar menjadi satu ‘mitos’. Penulis katakan mitos kerana berdasarkan cerita pengarah urusan Proton itu, pemandu teksi berkenaan enggan menurunkan cermin tingkapnya setiap kali tiba di plaza tol bukan kerana kuasa mekanikal pada cermin tingkapnya rosak tetapi lebih kerana mempercayai kata-kata orang lain bahawa ia akan rosak jika terlalu kerap diturun-naikkan.

Peristiwa ini juga telah ‘menangkap’ perhatian Syed Zainal yang kemudiannya memperkenalkan dirinya kepada pemandu teksi itu yang dia adalah ‘tauke’ Proton lalu meminta pemandu tersebut supaya jangan segan atau khuatir untuk menggunakan tingkap kuasa keretanya itu kerana jika benar-benar rosak, dia boleh menelefon Syed Zainal dan Proton akan membaiki semula kerosakan itu secara percuma.

Kata Syed Zainal, dia telah memberikan nombor telefon peribadinya kepada pemandu teksi tersebut tetapi selepas sekian lama, tiada panggilan yang diterima. “Jadi saya beranggapan, cermin tingkap teksi tersebut baik-baik sahaja...kalau tidak sudah tentu saya akan menerima panggilan telefon daripadanya,” kata Syed Zainal disambut dengan gelak ketawa daripada kami semua.

Namun itu bukanlah ceritanya. Cerita di sebalik kisah ini ialah, ekoran daripada persepsi negatif tersebut, Syed Zainal telah meletakkan satu iltizam untuk memperbetulkan semula tanggapan buruk orang ramai atau pengguna proton ke atas kualiti tingkap kuasa semua jenama kereta nasional itu.

Beliau telah meletakkan satu matlamat baru kepada Proton iaitu komited untuk jadi lebih baik. Dalam perkataan yang lain, Syed Zainal menyahut persepsi negatif itu sebagai cabaran untuk menjadi lebih sempurna.

Ternyata beliau adalah CEO yang berfikiran positif - tidak mengambil sesuatu kritikan itu sebagai satu bentuk ancaman tetapi sebaliknya sebagai satu dorongan untuk menjadi lebih baik.

Hari ini, Syed Zainal dan Proton berani memberi jaminan bahawa isu kecacatan ke atas tingkap kuasa Proton tidak wujud lagi. Ia adalah sejarah silam. Jika ada kereta baru Proton yang berhadapan dengan masalah tingkap, Proton memberi jaminan mereka akan membaikinya tanpa sebarang caj.

Kalau hendak menjadi lebih berjaya dan lebih baik maka inilah kualiti yang perlu ada pada seorang CEO. Beliau telah menunjukkan contoh teladan yang baik dan positif bukan sahaja kepada semua kakitangannya tetapi juga keyakinan baru kepada semua pelanggan Proton. Syabas Syed Zainal, syabas Proton dan syabas semua kakitangan Proton.

Merdeka

Tahun ini sambutan kemerdekaan negara ditenggelami sambutan Hari Raya Aidil Fitri yang jatuh sehari sebelum kita menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-54.

Ketika penulis masih kecil, 31 Ogos adalah hari di mana abah dan emak akan segera mengejutkan penulis untuk menyaksikan siaran langsung perbarisan Hari Kemerdekaan di kaca tv. Bila sudah besar, penulis dapati diri penulis berada di tengah-tengah perarakan tersebut kerana ditugaskan untuk membuat liputan sambutan Hari Kemerdekaan. Ia adalah senario yang sangat pelik tetapi benar.

Pada waktu dulu, kita merasakan perbarisan Hari Kemerdekaan adalah perbarisan mempamerkan rasa patriotisma. Hari ini, perarakan Hari Kemerdekaan lebih merupakan perarakan untuk mempamerkan siapakah yang berjaya sebagai kontinjen dengan uniform atau pakaian yang paling cantik dan menarik.

Malah ada hadiah menarik untuk kontinjen yang menang. Tetapi yang kekal dari dulu sehingga sekarang macam itu juga ialah kontinjen Angkatan Tentera Malaysia dengan seragam celoreng. Yang bertukar hanya senjata mereka.

Namun begitu, setiap kali kontinjen ATM berarak, merekalah yang akan mendapat tepukan paling gemuruh daripada orang ramai. Kenapa? Kerana kita semua selama ini merasa aman, selamat dan merdeka dari ancaman musuh kerana adanya mereka.

Raya

Minggu ini, laporan muka hadapan Mingguan mStar menyajikan laporan yang agak berlainan sedikit mengenai sambutan raya. Kami memaparkan tiga kisah menarik bagaimana mereka yang tidak mempunyai kampung halaman (orang bandar) beraya tanpa mengamalkan budaya pulang ke kampung yang menjadi amalan berjuta warga kota setiap kali tibanya musim raya, kisah kedua mengenai mereka yang hendak pulang beraya tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana komitmen kerja dan peristiwa ketiga ialah bagaimana terdapatnya segelintir keluarga dan individu yang memilih untuk menyambut hari raya dengan pergi bercuti di luar negara.

Namun ketiga-tiga peristiwa menarik ini tidak sama sekali mematikan semangat mereka untuk menyambut hari raya sepertimana sebahagian besar masyarakat Islam yang lain. Cuma mereka memilih cara yang tersendiri untuk merayakannya.

Penulis sendiri sebenarnya dibesarkan di kawasan bandar dan walaupun kerap kali balik beraya ‘di kampung’ tetapi hakikatnya ialah, penulis bukannya kembali ke kampung tetapi kembali ke tempat asal (Pulau Pinang) yang tidak terletak di dalam kampung.

Jadi sebenarnya, walaupun dinamakan ‘balik kampung’ namun hakikatnya ialah balik beraya di rumah ibu-bapa. Lima belas atau dua puluh tahun dahulu, raya adalah saat yang dinanti-nantikan kerana ia adalah masa untuk semua orang berkumpul dan bertemu.

Ia juga adalah masa untuk memperagakan pakaian yang cantik-cantik ketika berkunjung ke rumah kekasih atau buah hati yang ditinggalkan kerana tuntutan kerja di bandar lain.

Ia juga adalah masa untuk bertemu kembali dengan sahabat-sahabat lama khususnya rakan persekolahan dan pada waktu itu jugalah merupakan saat yang manis dan indah kerana bila bertemu dengan rakan sekolah akan terkenanglah kisah-kisah lama serta kenakalan silam.

Tetapi lama kelamaan kemanisan balik beraya ini hilang. Hilang kerana rakan-rakan lama tidak lagi berkumpul dan bertemu. Kekasih hati dikebas orang atau membawa diri serta haluan masing-masing lantas tiada apa lagi yang hendak ditayang dan diperagakan pada hari raya dan semua ini berlaku kerana hakikat dan kenyataan kehidupan.

Ia berlaku sebaik sahaja seorang demi seorang berumah tangga dan membawa haluan masing-masing mengikut keluarga atau isteri atau suami beraya di kampung halaman mereka pula.

Akhirnya pertemuan setahun sekali itu lenyap ditelan zaman dan tidak berlaku lagi dan kenangan manis keseronokan pulang beraya hanya tinggal kenang-kenangan dan memori indah yang kadang-kala sedih dan memilukan.

Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin daripada penulis dan seluruh keluarga mStar kepada pembaca sekalian.

Artikel Berikut

Azhar CEO Baru MRT Co

Artikel Lain