suria

UPP Kelantan Rampas Mercun Bernilai RM100,000

RANTAU PANJANG: Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Kelantan berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk pelbagai jenis mercun dan bunga api selepas merampas sejumlah bahan larangan itu di sebuah pangkalan haram di sini.

Komandernya, Mazlan Che Hamid berkata dalam serbuan pada pukul 1 pagi itu, sepasukan anggota UPP merampas bahan larangan itu dari sebuah lori di Kampung Chicha Tinggi.

"Dalam lori itu terdapat 70 kotak besar yang diisi mercun dan bunga api yang dianggarkan bernilai RM100,000".

Bagaimanapun, pemandu dan kelindan lori itu sempat memboloskan diri selepas mengetahui kehadiran anggota UPP, katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Mazlan berkata lori yang dianggarkan bernilai RM20,000 itu turut disita.

Mercun dan lori itu dihantar ke Kastam Rantau Panjang untuk tindakan lanjut.

Mazlan berkata mercun dan bunga api itu dipercayai diseludup masuk dari Thailand bagi pasaran negara ini sempena musim perayaan ini.

"Sepanjang bulan puasa ini UPP Kelantan berjaya mematahkan lima kes penyeludupan bunga api dan mercun yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM300,000," katanya.

Menurutnya dalam semua kes itu tiada tangkapan dilakukan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain