suria

Umat Islam Tidak Perlu Ragu Status Halal Daging Import - Jamil Khir

GURUN: Umat Islam di negara ini tidak perlu meragui status halal daging import yang dibawa masuk untuk memenuhi keperluan bekalan daging sempena sambutan Aidilfitri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata ini kerana semua pengimport daging terbabit telah dikenal pasti mematuhi syarat kelulusan status halal sebelum dibenar berbuat demikian.

"Daging import merupakan daging yang dikenal pasti daripada pengimport yang mematuhi tanda aras dan juga sijil halal yang telah dikeluarkan. "Jadi tak timbul keraguan umat Islam yang akan menyambut Aidilfitri beberapa hari yang akan datang ini berkenaan bekalan daging, selain jaminan daripada pihak KPDNKK (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan)," katanya kepada pemberita, di sini, Jumaat.

Beliau yang ditemui pada majlis berbuka puasa bersama Umno Bahagian Jerai di Kompleks Sukan Modenas berkata kerajaan juga mengimport bekalan dari pusat penyembelihan yang memiliki sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Termasuk juga tentang sembelihan itu, kita import daripada tempat-tempat yang mendapat kebenaran sijil daripada pihak Jakim," katanya.

Katanya Jakim sentiasa memantau pihak yang berkaitan untuk tujuan pembekalan serta pematuhan tanda halal yang telah diletakkan kerajaan. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain