suria

Trafik Sesak Tapi Bergerak Perlahan Ke Semua Arah

KUALA LUMPUR: Trafik di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) bergerak perlahan di beberapa laluan terutama di bahagian utara di antara Terowong Menora ke Sungai Perak di Perak sejak pukul 5 petang Jumaat. Seorang jurucakap PLUSLine memberitahu Bernama trafik juga perlahan di Tapah ke Gopeng, Perak dan dari Juru ke Tol Juru, Pulau Pinang.

Katanya, di ibu negara, trafik bergerak perlahan dari Subang menghala ke Damansara, Sungai Buloh ke Jalan Duta dan selepas tol Sungai Besi menghala ke ibu kota.

Beliau berkata, pengguna yang ingin mengetahui maklumat trafik semasa boleh menghubungi Plusline di talian 1800-88-0000 yang beroperasi 24 jam.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pula berkata terdapat satu kemalangan di Lebuhraya Elite di KM13.7 Saujana Putra ke Putra Heights yang membabitkan sebuah lori.

"Jalan itu kini mengalami kesesakan sepanjang lima kilometer," katanya ketika dihubungi.

Jurucakap Trafik Bukit Aman ketika dihubungi berkata kemalangan yang berlaku kira-kira 5.50 petang ini di lebuhraya Plus iaitu di KM 186 Ayer Keroh menghala ke Pagoh (arah utara) mengakibatkan trafik perlahan di kawasan itu.

Kenderaan juga bertali arus dari ibu kota menghala ke Seremban, katanya.

Kesesakan dan pergerakan trafik perlahan berikutan warga kota yang mula bercuti esok untuk pulang ke kampung sempena Hari Raya Aidilfitri minggu depan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain