suria

PGM Perak Rampas 206 Karton Rokok Seludup

LUMUT: Pasukan Gerakan Marin (PGM) Perak merampas 206 karton rokok putih pelbagai jenama bernilai RM14,470 dalam serbuan ke sebuah sebuah rumah kedai di Ayer Tawar, Sitiawan dekat sini, Jumaat.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PGM DSP Shaari Ariffin berkata seorang lelaki berusia 46 tahun turut ditahan dalam serbuan pada kira-kira 9 malam itu.

Bercakap kepada Bernama di sini, beliau berkata serbuan itu hasil maklumat orang awam mengenai aktiviti penjualan rokok seludup.

"Sepasukan lima anggota telah dihantar ke lokasi untuk menyiasat dan mengintip aktiviti penjualan haram itu sebelum menyerbu premis berkenaan. Hasil serbuan sebanyak 206 karton rokok putih pelbagai jenama dijumpai tersorok dalam sebuah bilik di rumah kedai itu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Shaari berkata dua wanita dan seorang lelaki diberkas dalam tiga serbuan Operasi Cegah Jenayah Musim Perayaan yang dilancarkan bulan ini.

Katanya tiga suspek itu terlibat dalam kegiatan menyimpan dan menjual bunga api serta mercun.

Sebanyak 38 kotak pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai kira-kira RM31,450 turut dirampas, katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain