suria

Pemuda Umno Buat Laporan Polis Berhubung Tohmahan Ahli Parlimen Kuantan

KUANTAN: Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Indera Mahkota membuat laporan polis berhubung tindakan Anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh membuat tohmahan berterusan berhubung pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi oleh Syarikat Lynas Corporation Ltd di Gebeng.

Laporan dibuat Ketua Pemuda Umno Bahagian Indera Mahkota Suhaimi Sulong di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini pada kira-kira 4 petang, Jumaat.

Suhaimi berkata Fuziah dilihat masih membuat tohmahan berhubung pembinaan kilang itu dalam beberapa siri ceramahnya di sekitar bandar ini.

"Tindakan beliau perlu dihentikan kerana ia boleh mencetuskan suasana tidak tenteram kepada penduduk Kuantan. Tindakan Anggota Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat itu telah menimbulkan kerisauan di kalangan penduduk di daerah ini mengenai tahap keselamatan mereka berdasarkan fakta yang tidak benar," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Isu kilang itu mencetuskan kontroversi apabila beberapa pihak membantah pembinaannya kerana didakwa bakal menghasilkan radiasi yang boleh memudaratkan kesihatan orang ramai.

Bagaimanapun, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) memutuskan kilang berkenaan selamat, namun syarikat dari Australia itu perlu melaksanakan pelbagai langkah penambahbaikan sebelum meneruskan operasi.

"Apa yang dilakukan anggota Parlimen terbabit ialah mahu mengalih perhatian rakyat dan penduduk Kuantan menerusi fakta yang tidak benar, serta bertujuan mengalih perhatian terhadap kebajikan kerajaan pimpinan Barisan Nasional kepada rakyat," kata Suhaimi. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain