suria

MITI: Tugas Berat Capai Nisbah 50:50 Dengan FDI Terus Memasuki Negara

KULIM: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berhadapan dengan tugas berat dalam cuba mencapai nisbah 50:50 antara pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) terutama sekali dengan FDI masih terus mengalir masuk ke dalam negara.

Timbalan menterinya, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata cabaran untuk mendapatkan lebih banyak pelaburan tempatan bukanlah kepada angka atau jumlahnya tetapi lebih kepada nisbah.

"Kita telah mencapai nisbah 50-50 antara FDI dan DDI. Ia menjadi sukar apabila jumlah FDI terus mengalir masuk ... ia bukannya bertambah perlahan. "Pelaburan domestik perlu pantas mengejar. Inilah cabarannya.

"Dengan adanya program transformasi ekonomi untuk merancakkan ekonomi, kita sedang cuba menjadikannya lebih menarik untuk syarikat-syarikat tempatan melabur.

"Jika sebelum ini, mereka lihat tidak banyak keterujaan dalam ekonomi kita ... sekarang, mereka boleh katakan banyak perkara sedang berlaku.

"Ia bukan hanya mengenai infrastruktur tetapi juga inisiatif lain yang menjadikannya menarik untuk mereka kekal dan bukannya melabur di seberang laut," kata beliau kepada pemberita selepas majlis Program Ceria Aidilfitiri 2011 Intel Malaysia yang diadakan di Intel Technology Sdn Bhd di sini malam Jumaat.

Mukhriz berkata kerajaan juga ingin melihat usaha sama antara FDI dan DDI.

"Apabila terdapatnya krisis ekonomi, ia membawa sekali keadaan tidak menentu di pasaran seberang laut dan situasi seperti di Jepun yang mengalami bencana alam. Inilah masa yang sesuai untuk syarikat-syarikat dengan teknologi canggih menimbang untuk datang ke Malaysia dan memeterai usaha sama dengan syarikat tempatan.

Beliau juga berkata nisbah antara FDI dan DDI ialah pada 70:30 pada masa ini dan bergerak ke arah 60-40 dan sebagai sebahagian daripada rancangan untuk menjadikannya 50:50, kerajaan tidak dapat membezakannya antara syarikat tempatan dan asing.

"Insentif yang sama diberikan kepada syarikat asing juga perlu diberikan kepada syarikat tempatan. Kita tidak boleh bersikap diskriminasi. Dengan ETP, terdapat banyak peluang untuk disertai oleh syarikat-syarikat tempatan," tambah beliau.

Mengenai FDI ke wilayah utara terutamanya Kedah dan Pulau Pinang, Mukhriz berkata ia agak menggalakkan dan kedua-dua negeri itu masih lagi mendapat pelaburan, terutamanya dalam sektor elektronik dan elektrik yang sentiasa merupakan kekuatan Malaysia.

"Pelaburan datang dari serata tempat. Antara isu paling utama ialah situasi tidak menentu yang timbul daripada krisis ekonomi global.

"Dalam usaha mengatasinya, kita cuba terbabit sebanyak mungkin dengan bakal-bakal pelabur dan fahami kebimbangan mereka. Jadi, tatkala mereka telah sedia untuk membuat keputusan, mereka sudah agak pasti apa yang mereka akan hadapi kelak," tambah beliau. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain