suria

Malaysia Tuntut Mandat Jelas Lindungi Orang Awam Di Negara Konflik

KUALA LUMPUR: Satu mandat jelas diperlukan bagi melindungi orang awam di rantau yang terbabit dengan konflik bersenjata bagi mengelak kehilangan nyawa.

Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Operasi Pengaman PBB Datuk Hussein Haniff berkata sungguhpun tanggungjawab untuk melindungi orang awam, secara prinsip, masih bergantung dengan kerajaan masing-masing, bagaimanapun pengaman PBB mestilah mematuhi prinsip kesaksamaan dalam menjalankan tugas mereka.

"Dalam hubungan ini, Malaysia beri perhatian dengan jurang dalam pelaksanaan mandat mengenai perlindungan orang awam, yang disokong oleh sesetengah pemerintah pasukan baru-baru ini," katanya berucap mengenai "Operasi Pengaman PBB:

Mengambilkira dan Persediaan untuk Masa Hadapan" dalam Debat Terbuka Majlis Keselamatan di New York pada Jumaat.

Teks ucapan beliau diperoleh di sini hari ini.

Beliau berkata Majlis Keselamatan hendaklah memastikan mandat mengenai perlindungan orang awam jelas dan tepat, dan misi itu mestilah juga menyediakan pelaksana utama untuk melaksanakan tugas mandat itu secara berkesan dan cekap.

Hussein juga menggesa pihak berkuasa berkaitan untuk memudah dan menyegerakan pemindahan perubatan tanpa gangguan dan akses pada penjagaan kesihatan untuk anggota pengaman yang cedera yang berkorban bagi membawa keamanan dan kestabilan di dunia.

"Kelewatan boleh membawa pada kehilangan nyawa," katanya sambil melahirkan kebimbangan dengan kelewatan pemindahan anggota yang cedera itu baru-baru ini.

Mengenai bajet tahunan US$8 bilion (RM24 bilion) untuk sumber-sumber pengaman PBB, beliau berharap dana itu akan digunakan dengan lebih cekap dan telus, dan menggesa negara-negara berkemampuan untuk menyumbang bagi memastikan anggota pengaman menjalankan tugas dengan jayanya.

Beliau berkata Malaysia terus berpegang teguh dengan komitmennya ke arah memperoleh keamanan dan kestabilan global, yang membolehkan negara-negara menumpukan sumber-sumbernya untuk ekonomi dan pembangunan sosial, bagi kesejahteraan rakyat mereka.

"Dengan kepentingan ini, anggota kita yang dihantar ke semua misi pengaman PBB, akan sentiasa mencuba untuk memenangi hati dan fikiran orang tempatan menerusi projek impak segera," kata beliau.

"Saya ingin mengulangi bahawa ketegasan Malaysia dan sokongan berterusan untuk aktiviti keamanan di bawah payung PBB, dan PBB boleh terus mengambilkira sumbangan langsung Malaysia dalam bidang penting ini," tambah beliau.

Di peringkat nasional, Malaysia sentiasa menyediakan bantuan kepada negara-negara yang memerlukan menerusi inisiatif Program Kerjasama Teknikal Malaysia, yang bertujuan untuk menyumbang kepada pembinaan negara-negara yang terbabit, kata beliau.

Hussein berkata Malaysia terbabit dengan Operasi Pengaman PBB seawal 1960, hanya tiga tahun selepas negara mencapai kemerdekaan, dalam Operasi PBB di Congo (UNOC).

Setakat ini, Malaysia telah menyertai 24 Operasi Pengaman PBB di seluruh dunia, termasuk operasi pengaman yang diketuai oleh negara-negara Perjanjian Pertubuhan Atlantik Utara (NATO), kata beliau.

Kini sebanyak 1,151 anggota tentera dan polis sedang berkhidmat dengan pelbagai kapasiti dalam tujuh misi pengaman, tambahnya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain