suria

Remaja Lelaki Retak Tempurung Lutut Diserang Kera Liar

RANTAU PANJANG: Seorang remaja lelaki retak tempurung lutut kanan akibat diserang seekor kera liar dalam kejadian di kawasan kebun getah Kampung Tasek Bakong dekat sini, Khamis.

Mangsa, Mohd Shafiq Mat Zulkapli, 16, berkata kejadian berlaku kira-kira 10.45 pagi ketika beliau menunggang motosikal bersama dua adik perempuannya, Nur Aishah, 13, dan Nur Yasmin, 8, ke kebun getah untuk membantu ibu bapa mereka mengutip getah beku.

"Tiba-tiba seekor kera liar muncul dan menerkam ke arah kami. Saya terus menendang binatang itu yang menyebabkan motosikal saya hilang kawalan sebelum terjatuh, menyebabkan kami tercampak ke tepi," katanya yang menambah binatang itu kemudian melompat ke atas badan adiknya.

Tidak mampu bangun akibat sakit pada bahagian lutut, Mohd Shafiq berkata beliau cuba menggapai ketulan batu berdekatan untuk membaling kera berkenaan.

"Ketika itu, adik-adik mula menangis. Tiba-tiba saya lihat adik saya, Nur Aishah, mengangkat motosikal yang terbalik lalu menunggangnya dengan membawa Nur Yasmin untuk mendapatkan bantuan," katanya.

Beberapa minit kemudian, Mohd Shafiq berkata sepasukan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia tiba di tempat kejadian dan membawanya ke Hospital Pasir Mas sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Baharu untuk rawatan lanjut.

Nur Aishah berkata kesakitan yang ditanggung abangnya akibat serangan kera berkenaan serta tindakan binatang liar itu yang cuba menerkam Mohd Shafiq menyebabkan dia menggagahi diri mengangkat motosikal yang terbalik dan menunggangnya untuk meminta bantuan.

"Sayapun tidak tahu dari mana datangnya kekuatan itu. Tengok abang sakit dan bimbang kera liar itu terus menerkam abang, saya nekad bawa adik lari untuk minta bantuan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain