suria

Polis Tahan Dua Peniaga Kedai Dobi Hasil Dadah Kodin

KAJANG: Polis menahan dua peniaga kedai dobi yang menyimpan 44 gelen ubat batuk yang mengandungi dadah kodin dan peralatan untuk menghasilkan dadah tersebut di sebuah rumah di Seksyen 2, Bandar Mahkota Cheras di sini Khamis.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner (ACP) Abdul Rashid Abdul Wahab berkata anggota polis menyerbu premis berkenaan kira-kira 4 petang selepas menerima maklumat mengenai kegiatan pengedaran dadah di kawasan perumahan berkenaan serta merampas barang kes bernilai kira-kira RM22,000.

"Ketika serbuan dibuat pintu rumah berkunci dan anggota polis terpaksa memecahkan pintu rumah itu. Kedua-dua lelaki itu sedang bersiap sedia untuk membawa ubat-ubat keluar daripada premis berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Mereka yang masing-masing berumur 24 dan 25 tahun dan berasal dari negeri di pantai timur dipercayai bergiat aktif dalam aktiviti penghasilan dadah berkenaan sejak enam bulan lepas.

Abdul Rashid berkata kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari dan akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan negatif dadah. - BERNAMA

Artikel Lain