suria

Pemandu Traktor Didakwa Bunuh Tiga Anak

KLUANG: Seorang pemandu traktor pada Jumaat didakwa atas tiga tuduhan membunuh tiga anaknya di Ladang Lambak/Elaeis, di sini Isnin lepas.

Prosiding pendakwaan terhadap R. Munesuaran, 29, dijalankan di Wad Melor 4, Hospital Daerah Kluang, di sini, kerana dia sedang menerima rawatan di hospital berkenaan.

Bagi tuduhan pertama, Munesuaran didakwa membunuh anak perempuannya, M. Nivyatharshini, 5, di kolam air Ladang Lambak/Elaeis, Jalan Mengkibol, di sini, pada kira-kira 6.30 petang hingga 7.30 malam, 22 Ogos lepas.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa melakukan kesalahan yang sama terhadap anak perempuannya M. Renisha, 3, dan anak lelakinya, M. Thevanesh, 2, di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Ketiga-tiga pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Munesuaran yang tidak diwakili peguam mengangguk tanda faham sebaik pertuduhan dibacakan di dalam Bahasa Malaysia, namun tiada pengakuan direkodkan.

Majistret Norhabsarina Ayob menetapkan 18 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Rasidah Radzaz. - BERNAMA

Artikel Lain