suria

Kes Sosilawati: Ketua Pengarang, Wartawan Utusan Malaysia Diberi Amaran

SHAH ALAM: Ketua pengarang dan seorang wartawan Utusan Malaysia pada Jumaat diberi amaran supaya tidak menerbitkan sebarang komen membabitkan perbicaraan kes yang masih berlangsung.

Mereka diperintah hadir ke Mahkamah Tinggi di sini bagi memberi penjelasan berhubung penerbitan artikel yang didakwa 'menyerang' peribadi Manjeet Singh Dhillon, peguam dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.

Hakim Datuk Akhtar Tahir juga memberi amaran kepada ketua pengarang akhbar berkenaan, Datuk Abdul Aziz Ishak, dan wartawan Raja Syahrir Abu Bakar supaya tidak mengulangi perkara itu atau mereka bakal dikenakan tindakan.

Akhtar berkata mereka tidak sepatutnya menerbitkan artikel bertajuk 'Manjeet Selalu Burukkan Kerajaan' memandangkan perbicaraan kes bunuh itu sedang berlangsung dan terdapat beberapa perkara atau permohonan yang masih belum beliau putuskan.

Pada 18 Ogos lepas, Manjeet yang mewakili tertuduh pertama dalam kes itu, N.Pathmanabhan, membangkitkan mengenai penerbitan artikel bertarikh 17 Ogos, 2011 itu yang didakwa subjudis terhadap perbicaraan kes berkenaan.

Dalam artikel tersebut, Anggota Parlimen Padang Serai N.Gobalakrishnan dilaporkan memberi komen berhubung tindakan Manjeet yang didakwa beberapa kali meminta mahkamah mengenakan tindakan menghina mahkamah terhadap pihak pendakwaan kes pembunuhan itu. Terdahulu, Raja Syahrir, ketika ditanya Akhtar sama ada beliau tahu bahawa beliau tidak boleh menulis mengenai perbicaraan kes mahkamah yang sedang berlangsung, menjawab beliau mengetahuinya.

"Jadi mengapa kamu tulis juga (artikel)," soal Akhtar dan wartawan itu menjawab: "Saya tidak tahu ia menjurus kepada perbuatan menghina mahkamah."

"Ya, tetapi kamu juga tidak pernah datang ke mahkamah dan apa yang dilaporkan juga tidak tepat. Kamu tidak sepatutnya siarkan (artikel) tetapi jika kamu ingin membincangkannya di kedai kopi boleh, tetapi bukan untuk disiarkan.

"Saya panggil kamu hari ini untuk memberitahu bahawa kamu tidak boleh siarkan komen mengenai kes ini tetapi apa yang saksi kata boleh (disiarkan)," kata Akhtar.

Hakim itu berkata tindakan mereka menerbitkan komen tersebut memberi gambaran bahawa mahkamah boleh digunakan untuk tujuan politik, dan serangan yang dilakukan terhadap Manjeet juga merupakan satu serangan kepada mahkamah.

Akhtar berkata beliau hanya ingin memberi amaran tetapi terpulang kepada Manjeet sama ada ingin mengambil tindakan berhubung penerbitan komen itu.

"Saya harap media akan ambil perhatian. Saya tidak akan ambil tindakan tetapi jika perkara ini berulang, saya akan ambil tindakan terhadap anda. Saya juga akan perintahkan Gobalakrishnan hadir di mahkamah untuk memberi penjelasan," katanya.

Peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Abdul Aziz dan Raja Syahrir kemudian berkata sebelum kedua-dua anak guamnya diperintah hadir ke mahkamah, mereka telah menemui beliau bagi mendapatkan nasihatnya berhubung apa yang boleh dan tidak boleh mereka laporkan.

"Kamu sepatutnya melakukan perkara ini lebih awal. Faktanya mudah, kamu tidak boleh komen mengenai perbicaraan yang sedang berlangsung, dan ini ialah asas undang-undang yang mudah," kata Akhtar.

Pathmanabhan, bekas peguam, dan tiga pekerja ladang T.Thilaiyalagan, R.Matan dan R.Khatavarayan sedang dibicarakan atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, Ahmad Kamil, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010. Pathmanabhan, 42, Thilaiyagan, 20, Matan, 21, dan Khatavarayan, 31, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan disambung pada 12 September. - BERNAMA

Artikel Lain