suria

Kadar Levi Pekerja Asing Naik RM50 Mulai 1 September 2011

PUTRAJAYA: Kerajaan telah bersetuju dengan kenaikan RM50 sebagai kadar tambahan kepada levi bagi semua kategori pekerja asing berkuatkuasa 1 September 2011.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Tan Sri Mahmood Adam berkata kenaikan itu adalah antara inisiatif cadangan Makmal Pengurusan Warga Asing dan keputusan itu dicapai selepas pertimbangan teliti termasuk mengambil kira kenaikan kali terakhirnya pada 2005.

Bagaimanapun, katanya permohonan kali pertama untuk setiap pekerja asing yang dikemukakan kepada KDN sebelum 1 Sept 2011, akan kekal pada kadar levi yang lama.

"Selain itu, kadar lama juga dikekalkan bagi semua permohonan lanjutan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang tamat sebelum 1 Sept 2011," katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.

Mahmood berkata kadar levi baru itu hanya sah untuk permohonan PLKS yang tamat serta diluluskan pada atau selepas 1 Sept 2011, sama ada melibatkan permohonan baru mahu pun untuk tujuan lanjutan.

Susulan pengumuman itu, katanya kadar levi baru ialah RM410 bagi sektor pertanian dan pembantu rumah diikuti RM590 (perladangan), RM1,250 (perkilangan dan pembinaan) dan RM1,850 (perkhidmatan).

Bagaimanapun, beliau berkata untuk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, kadar levi barunya lebih rendah berbanding Semenanjung Malaysia iaitu RM1,010 bagi perkilangan serta pembinaan dan RM1,490 bagi sektor perkhidmatan.

Dalam perkembangan lain, Mahmood berkata sehingga 8.30 pagi ini, sebanyak 2,248,940 pekerja asing sah dan pendatang asing tanpa izin (PATI) telah didaftarkan menerusi pejabat Imigresen dan syarikat pengurus seluruh negara.

Daripada jumlah itu, katanya seramai 1,242,813 adalah PATI yang didaftarkan menerusi Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin atau Program 6P. - BERNAMA

Artikel Lain