suria

Isu Gereja: JAIS Masih Lengkapkan Siasatan

SHAH ALAM: Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Marzuki Hussin berkata, badan itu masih lagi dalam proses melengkapkan siasatan berhubung pemeriksaannya ke atas Gereja Methodist Damansara Utama 3 Ogos lepas.

"Terdapat saksi-saksi yang enggan memberi kerjasama untuk kenyataan mereka direkodkan, ini menyebabkan kelewatan pihak Jais melengkapkan siasatan terhadap kes ini," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, Khamis.

Beliau berkata, JAIS perlu memastikan bahawa siasatan yang dijalankan ini adalah telus tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak dan Jais juga tidak mahu mengambil tindakan terburu-buru kerana dikhuatiri akan mengakibatkan penyiasatan tidak dapat dijalankan secara menyeluruh dan terperinci.

JAIS perlu sentiasa mengambil kira kepentingan semua pihak yang terlibat dalam kes ini dan memastikan keadilan dicapai terhadap semua pihak, kata Marzuki.

Jabatan itu juga perlu mengambil kira sensitiviti kes ini terhadap masyarakat di negara ini dan perlu sentiasa memastikan sebarang keputusan yang bakal dibuat akan mengambil kira kepentingan agama, masyarakat dan individu yang terlibat dalam kes ini, kata beliau.

Marzuki berkata: "Pihak kami memberi jaminan bahawa setelah penyiasatan dilengkapkan, keputusan akan dibuat sama ada menuduh mana-mana pihak sekiranya cukup keterangan yang menepati keperluan intipati seksyen kesalahan yang disiasat atau tindakan lain yang bersesuian dengan hasil penyiasatan."

Sementara itu, Marzuki yang ditemani tiga pegawai JAIS enggan memberi komen kepada pihak media selepas selesai membentangkan laporan terperinci berhubung pemeriksaan JAIS ke atas gereja di Damansara pada 3.05 petang di hadapan Gerak Kerja Pendengaran di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.

Gerak Kerja Pendengaran dianggotai oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid dan Timbalan Mufti Selangor Datuk Abdul Majid Omar yang akan mendengar laporan daripada JAIS dan juga penganjur majlis makan malam di gereja itu, sebuah badan bukan kerajaan dikenali sebagai Komuniti Harapan.

Abdul Khalid berkata, semalam hasil daripada pendengaran itu akan dibincangkan dan salah satu daripada tugas Gerak Kerja itu ialah memberikan laporan kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Empat wakil Komuniti Harapan bersama dua peguam mereka Datuk Kenny Ng dan Annou Xavier selesai membentangkan laporan mereka pada 4 petang tadi.

Xavier memberitahu wartawan perjumpaan mereka dengan Menteri Besar berjalan dengan baik.

Ng pula berkata: "Good sense, good will and good faith of the meeting."

Salah seorang daripada wakil lelaki dari Komuniti Harapan itu bersongkok hitam manakala wakil wanitanya pula mengenakan tudung berwarna biru muda.

Wakil JAIS tiba pada 2.20 petang manakala Komuniti Harapan pada 2.30 petang dan mereka membentangkan laporan masing-masing secara berasingan.

Bagaimanapun, wakil media gagal mendapatkan reaksi daripada Abdul Khalid dan diminta beredar oleh pengawal keselamatan.

Artikel Lain