suria

Penambaikan Sistem Pilihan Raya Tetap Diteruskan Tanpa Pembangkang

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Khas Parlimen tetap akan diteruskan sama ada pembangkang setuju atau tidak mengenai pembahagian anggota dalam jawatankuasa itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata pembahagian itu ditentukan berdasarkan jumlah kerusi yang dipegang oleh parti-parti berkenaan di dalam Parlimen.

Malah, beliau berkata pembahagian itu sudah cukup adil selain turut mengambil kira peranan anggota bebas dalam Parlimen.

"Jalan mana yang pembangkang boleh dapat kerusi lebih dari BN dan kerajaan. Perkiraan apa yang mereka buat. Dari segi jumlah ahli Parlimen itupun tidak 50-50.

"Sudah tentu pembahagian ini ikut nisbah berpatutan. Itupun kita sudah cukup adil," katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa meraikan tetamu istimewa, anak-anak yatim dan ibu tunggal di Hentian Duta di sini, Rabu.

Mohamed Nazri berkata, sikap yang ditonjolkan pembangkang ini seolah-olah mereka 'terkejut beruk' apabila kerajaan setuju untuk mengadakan Jawatankuasa Khas Parlimen itu bagi mengkaji perkara yang dibangkitkan oleh NGO.

"Mereka tidak sangka yang kerajaan setuju buat jawatankuasa ini. Sekarang ini, mereka nak cari dalih untuk akhirnya akan ambil keputusan tak mahu jawatankuasa itu diwujudkan," katanya.

Sementara itu, Mohamed Nazri berkata jawatankuasa itu mempunyai tempoh yang panjang untuk menjalankan peranan mereka memandangkan tempoh berakhir Parlimen adalah pada 28 April 2013.

"Tapi dalam tempoh enam bulan, saya yakin jawatankuasa itu dapat menjalankan tugas mereka dan membentangkan laporan untuk tindakan selanjutnya yang munasabah," katanya.

Pada majlis ini seramai 150 anak yatim dan ibu tunggal menerima sumbangan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri. - BERNAMA

Artikel Lain